Media Press Release

Produk kesihatan RM42j dirampas: Tiong Lai

Date: Thursday, 11 February 2010
Category: Publication - Sinar Harian

Bentong - Kementerian Kesihatan merampas lebih RM42 juta nilai produk makanan kesihatan yang mengandungi dadah terlarang sejak dua tahun lepas, kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, daripada jumlah tersebut, lebih RM14 juta adalah nilai rampasan produk kesihatan seks untuk lelaki.

Menurutnya perkembangan yang membimbangkan itu mungkin berlaku akibat penyalahgunaan lesen perniagaan oleh syarikat atau farmasi serta wakil jualan langsung yang diberikan lesen oleh kementerian itu menjual barangan yang salah di sisi undang-undang.

"Kementerian tidak dapat pastikan berapa banyak syarikat yang menyalahgunakan lesen yang diberikan tetapi menyarankan mereka perlulah lebih berdisplin dengan menjual barangan yang mendapat kelulusan (kementerian) sahaja.

"Kementerian memandang serius perkara ini. Penjualan produk barangan yang dilarang merupakan satu pelanggaran undang-undang yang serius," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baru Cina dan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya MTD di hentian sebelah Bentong, Pahang dekat sini, hari ini.

Tiong Lai berkata, 872 rampasan dengan denda sebanyak RM2,835,210 juta direkodkan sejak tempoh itu.

Katanya, agak sukar untuk kementerian mengenal pasti mereka yang terbabit dalam mengedarkan barangan kesihatan tambahan yang mengandungi bahan terlarang kerana ketika ini terdapat berbagai-bagai jenis produk itu di pasaran.

"Sememangnya diakui banyak produk makanan tambahan disenaraikan untuk mendapat kebenaran dari KKM namun selepas mendapat kelulusan dari KKM, ada segelintir dari pengeluar mencampurkan bahan yang tidak sepatutnya dalam produk yang dikeluarkan.

"Apa yang dilakukan mereka ini salah disisi undang-undang dan produk mereka boleh dirampas serta kilang ditutup," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, Pusat Darah Negara mempunyai bekalan darah mencukupi sempena musim cuti perayaan TAhun Baru Cina ini.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan kempen derma darah menyumbang kepada bekalan darah yang mencukupi terutama sekali di musim perayaan ini.

"Pusat Darah Negara bukan sahaja membekalkan darah kepada hospital kerajaan tetapi juga kepada hospital swasta," katanya.

View news clipping

--- Back to News Listing ---